Thursday, June 12, 2014

Aku Selalu Ingin Jadi Baik

Kadang-kadang, kita cuba untuk jadi kawan yang baik pada kawan kita. Kita sentiasa mahu orang lain rasa selesa bila dengan kita. Jujurnya, memegang title 'sahabat' lebih sukar dari 'kekasih'. Kekasih, kalau rasa memang dari jenis yang menyusahkan dan tak reti diuntung, kita tinggalkan saja. Tapi bila sahabat, kawan yang baik dengan kita yang dah lama.. Yang martabatnya kita angkat dari kawan biasa, naik sikit ke kawan baik, kemudian tempat berkongsi cerita suka duka, dari hari ini makan apa hinggalah insan mana yang buat hatinya terpaut menyimpan rasa.. Dan kemudiannya naik taraf menjadi sahabat...

Sebab itu, bila sesuatu terjadi pada sahabat kita, kita akan rasa terkesan. Tak banyak, sikit pasti ada. Melainkanlah kita ini manusia yang hatinya kering sekecut cili kering, keras bak konkrit. Jadilah apa sekalipun, asalkan bukan terkena batang hidung sendiri, kesah apa aku!!! 

Aku ini sensitif jiwanya. Nampak saja luaran kuat segala, jiwa besi bagai mampu meredah apa pun tapi hakikatnya, naluri mudah tersentuh bila melibatkan insan-insan yang dekat dengan aku. Kerana bila orang-orang ini sudah berjaya mendapat tempat di hati aku, ya, kamu semua akan aku layan sebaik mungkin.

Bukan sekali dua orang cakap pada aku, 'Berhentilah menjadi terlalu baik. Nanti orang ambil kesempatan.' Ya, aku ingat. Tapi pada aku, menjadi baik bukan satu kesalahan. Bila kita memilih kawan, kita pilih kawan yang baik pada pandangan mata kasar seorang manusia. Bila kita memilih kekasih, kita memilih yang terbaik dari banyak-banyak manusia yang mengaku dirinya baik, yang kita perhalusi akal dan budinya dek tak mahu tersilap memberi hati. Dan bila kita memilih untuk menaiktarafkan seorang kawan kepada pangkat sahabat, bermakna dia sudah berjaya dalam banyak ujian yang kita tetapkan tanpa sengaja.

Itu aku. Aku tak pasti macam mana cara pemilihan orang lain. Aku bila namanya pilih sahabat, aku tak kisah bagaimana rupanya. Janji kau ikhlas berkawan dengan aku. Sebab aku tak perlukan Miss Universe & Mr Metrosexual untuk menjadi sahabat aku. Aku hanya perlukan orang yang boleh jaga diri, jaga hati dan jaga peribadi. Tak perlu menjadi Imam Muda atau Ustazah Pilihan tapi kalau ada yang boleh tegur-tegur aku yang kurang alimnya ini, Alhamdulillah.

Walaupun aku bukan yang dari kategori ustazah tapi bukanlah maknanya aku jahil semua. Cuma kadang-kala alpa terlepas pandang. Jadi, bila ada teman-teman rapat yang dari golongan ini, bagus juga. Nama pun manusia, tak banyak, sikit pasti ada tergelincir.

Bila orang dalam kesusahan dan perlukan pertolongan, aku memang takkan menolak untuk tolong. Apatah lagi bila kawan-kawan yang rapat ditimpa masalah, ditimpa aib. Mungkin pertolongan aku bukanlah sebesar mana. Takat mendengar luahan perasaan, memberi kata sepatah dua.. atau kadang-kadang lebih dari itu. Ada kalanya, mungkin tiada yang sedar aku menghulur bantu. Tak apa, tak payah tahu pun tak apa. 

Aku manusia yang punya khilaf sendiri. Tidaklah sebaik mana, tidak juga sesempurna kau-kau semua. Tapi itu tak bermakna aku jahil ya amat. Aku percaya, bila kita buat baik dengan orang, sooner or later, orang akan buat baik pada kita. Kalau kita berusaha untuk tutup aib orang, aib kita juga akan ditutup orang. Aku tak kisah siapa pun kau..

Dunia, aku masih mahu menjadi yang baik-baik. Aku masih ingat bagaimana berbunga bangganya hati aku bila ada insan istimewa yang di saat akhir hayatnya berkata pada aku, 'Untungnya kau ada ayah seperti dia. Dia adalah sebaik-baik manusia yang aku kenal, yang tak pernah lelah menghulur bantu tanpa aku perlu merayu.'

Dan aku juga mahu waris-warisku merasa seperti mana aku rasa jika ada orang yang berbisik sebegitu mengenai aku.. Oh, tingginya harapan aku...





No comments: