Friday, July 10, 2015

Selagi Kita Namanya Khalifah

Sedang viral video ucapan luahan hati seorang anak muda bernama Zahra. Penuh terkesan walaupun nadanya lembut. Jujurnya saya simpati. Anak gadis itu kelihatan naif.

Kisah dongeng graduan lepasan universiti akan mendapat gaji besar dan pekerjaan yang bagus seharusnya kita lupuskan dari dulu. Saya faham, itu adalah slogan yang sering digunakan ibu bapa untuk menaikkan semangat anak-anak untuk gigih belajar hingga mendapat kejayaan di menara gading. Tapi hakikat yang tidak diberitahu adalah, selepas tamat pengajian, kemungkinan untuk para graduan menganggur adalah amat besar.

Realitinya, selepas bergelar graduan, banyak onak duri yang perlu dilalui. Turun naik tangga memanjat bangunan untuk interview yang rata-ratanya mahukan pengalaman. Bila sudah dapat, gajinya pula tidak seberapa. Job scopenya pula tiada yang sama dengan apa yang dipelajari ketika di universiti. Tambah menyeksa, politik pejabat, dan kerja-kerja yang diarahkan tidak mencabar minda dan pemikiran anak muda yang semangat juangnya sedang membara.

Jujurnya, kita perlu lakukan apa sahaja untuk survive. Ia bukan mudah dan tiada jalan mudah untuk senang kecuali kita datangnya dari keluarga keturunan berharta, yang sudah mempunyai legasi perniagaan. Jadi kita boleh menumpang senang.

Waktu saya tamatkan pengajian diploma, kerja pertama saya waktu itu adalah 'Telemarkerter'; mempromosikan loyalty card sebuah hotel bertaraf 5 bintang. Interviewnya tidak susah walhal iklannya mencari pekerja juga nampak menarik. Dalam satu bilik, berhimpit lebih 50 orang dan setiap seorang diberikan satu telefon. Ya, gajinya satu loyalty membership yang disign approved, dapatlah dalam RM200 tak silap. Kerja itu saya tahan seminggu. Lepas tu tak datang lagi dah. Saya tidak cukup kuat rasanya untuk bercakap tanpa henti mempromosi, tambah pula ayat saya tiada langsung yang manis menggoda.

Saya kemudiannya menyambung pengajian. Mungkin itu jalan terbaik memandangkan saya belum bersedia untuk berjuang di alam pekerjaan. Lantas saya memutuskan untuk mengutip sebanyak mana pengalaman dengan sebanyak mana manusia yang saya jumpa. Saya juga memberanikan diri berada di kolej yang rata-ratanya dari bangsa lain walaupun saya boleh memilih untuk berada di comfort zone universiti tempatan.

Dengan first degree, sekali lagi saya harus berjuang di dunia luar di zaman  kegawatan ekonomi. Degree seakan tiada nilainya. Tengok iklan di suratkhabar dan internet, yang paling layak memohon hanyalah bidang 'customer services', 'telemarketing', 'promoter'. Tulislah indah bagaimana pun nama positionnya, akhirnya kerja hakikinya masih promote itu ini. Yang 'up' sedikit, dapat rezeki dalam banking industry. Tapi masih lagi menjual dan mempromotekan credit card. Berharap pada komisyen.

Rezeki saya bersama Mid Valley Services & Management sebagai Customer Care Officer, bahasa senangnya, jaga information counter. Bekerja shift, off day BUKAN hari Sabtu, Ahad & public holiday bukan senang. Nasib baiklah kerja di shopping mall, ada sale, ada kawan-kawan yang boleh simpankan barang yang kita hajati sampai hari kita dapat  gaji. Itulah hiburan.

Waktu itu saya tinggal bersama keluarga di Kajang. Boleh bayangkan waktu itu dari Kajang ke Mid Valley, saya ambil bas dari main road depan rumah hingga ke Kajang. Samada selepas itu naik bas terus ke KL ataupun naik komuter hingga ke KL (waktu itu belum ada perhentian komuter Mid Valley), seterusnya naik bas Intrakota ke Mid Valley. Kalau kena shift malam, habis kerja pukul 10.30pm, ayah saya akan tolong ambil.

Itu rutin saya sepanjang setahun sehinggalah kemudiannya saya beralih arah ke Limkokwing Institute yang waktu itu berkampus di Kelana Jaya. Nasib saya agak baik waktu itu kerana ayah saya berkerja di Subang, lalu saya tumpang ayah.

Gaji? Fresh grad salary saya hanyalah RM1550, berulang-alik dari Kajang ke Mid Valley 6 hari seminggu, ditambah dengan belanja makan (di Mid Valley tiada warung berdekatan; food court tempat utama, sampai tengah - hujung bulan, kami beli makanan di Carefour dan makan di office) amatlah sukar. Waktu di Limkokwing juga, gaji Executive masih tidak menjadikan saya mampu membeli kereta. Saya tumpang ayah, atau selebihnya saya naik LRT. Cuma mungkin rezeki jodoh saya ada di situ, lalu saya dapat menumpang senang seorang lelaki yang sanggup mengharung jammed hingga ke Kajang tiap kali kami dating secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kawan-kawan lain selepas waktu pejabat.

Rezeki saya murah selepas berkahwin. Lepas satu, satu. Jujurnya saya tidak memilih untuk berkahwin dengan lelaki kaya walaupun pilihan itu ada. Saya hanya percaya pada kuasa Illahi dan rezeki yang ditentukan buat saya.

Komplikasi waktu mengandungkan anak pertama membuatkan saya berhenti kerja. Banyak pengorbanan yang harus kami berdua redah. Hutang bank study loan saya RM500 setiap bulan. Saya dan suami pernah hidup berbekalkan roti Gardenia besar. Itulah yang kami buat berbuka puasa dan sahur.

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Adil. Dengan puteri Anggun yang masih kecil, saya mendapat kerja dengan cara yang dipermudahkan. Dan saya semakin tahu arah tuju dan membina karier yang saya mahukan walaupun ianya sungguh tidak sama dengan apa yang saya kejarkan sewaktu di universiti.

Belasan tahun berjuang, saya melihat ramai insan-insan yang berjaya menggenggam sijil, diploma dan ijazah. Dan pada mereka saya sering katakan, jangan sangka kehidupan selepas melangkah keluar dari alam pelajar adalah mudah. Jangan berangan akan terus pakai kereta besar berjenama, bergaji besar seperti yang selalu tonton dalam drama atau filem melainkan mereka anak orang kaya yang harta keluarga setinggi gunung.

Saya sering gunakan contoh teman saya yang bernama Norlin. Dia mulakan kerjaya selepas tamat belajar di Toy'r'Us selama dua tahun. Kira stok dalam setor, mop lantai, lap habuk, balut hadiah semua dia buat sebelum saya bertemu dia di Mid Valley yang waktu itu hanya Leasing Executive. Sedikitpun tidak mengeluh, sedikitpun tidak bermegah walaupun hakikatnya, pakciknya adalah Tun Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Dia masih boleh duduk makan bersama saya, kadang-kadang membantu di dalam info counter. Perjalanan dia amat panjang, selepas Mid Valley dia ke beberapa lagi shopping mall lain, naik setingkat demi setingkat sehinggalah akhirnya dia mengambil alih perniagaan keluarganya. Hampir 10 tahun menimba pengalaman.

Tanya pada diri sendiri, sanggupkah kita yang ber'ijazah' ini memohon kerja di Toy'r'Us dan bertahan hingga dua tahun? Pada kita, kerja sebegitu untuk budak-budak lepasan SPM sementara menunggu keputusan keluar. Tapi tidak pada Norlin.

Saya akui, zaman sekarang serba mencabar. Untuk terus hidup, kita perlu terus berjuang. Zaman sekarang kita perlu mencari sesuatu yang 'value added skills' untuk terus bertahan. Kalau dulu, kita rasa bila dah gah di pejabat, cukuplah. Tapi zaman ini, yang tahu masak, yang ada baking skill, pandai menjahit, hasilnya lumayan. Yang petah bercakap, boleh jadi emcee. Yang ada event management skills, boleh organise macam-macam event. Itulah hakikatnya.

Jadi adik-adik, buangkan angan-angan lepas habis belajar akan dapat kerja bagus, gaji besar, rumah besar, hidup mewah semua itu dari senarai angan-angan kamu semua. Berpijak di bumi nyata. Percayalah, makcik jual goreng pisang adakalanya lebih kaya dari yang kerja dalam aircond, ber'suit' bagai. Rezeki kita ditentukan Allah tapi Dia mahukan kita berusaha. Bumi Allah itu luas. Saya selalu berkata itu pada kawan-kawan yang ditarik rezekinya, diberhentikan kerja etc. Kita perlu kuat dan terus berjuang sebagai khalifah bumi. InsyaAllah.








Monday, July 6, 2015

Terima Kasih Cinta

Terima kasih wahai cinta
Kerna masih tetap terus bersama
Walau kita makin dimamah usia
Moga hari-hari kita terus direstu & diberkati.

The 37th Celebration

Precious moment being together. I love you people.
Hadiah yang paling berharga adalah bila kegembiraan kami dapat dikongsi & kenikmatan itu kami rasai. Terima kasih wahai kesayangan hamba.
P/s: tapi hadiah lain tetap mahu ya @azimintazilan

Bila dah namanya hampir-hampir masuk 4 series, the best moment pada kita adalah bila bersama insan-insan tersayang. Kita dah tak kisah dah samada kawan itu, kawan sana, itu ini yang lain yang tak ingat hari lahir kita, sebab yang utama, cinta hati kita sentiasa ada bersama.