Monday, September 7, 2009

SOMETHING TO SHARE ABOUT "KARYA"





Sesuatu yang amat menarik telah 'menangkap' perhatian saya sewaktu membelek suratkhabar KOSMO hari ini. Tajuknya LIKU GETIR SI PENYAIR, dari mukasurat 22, seksyen KOSMO2 (Buku). Rencana ini mengisahkan tentang kompilasi karya-karya insan yang bernama Chairil Anwar, yang berkarya dari tahun 1942 hingga ke 1949.

Saya belum pernah mengulit karya2 beliau tetapi selepas membaca rencana di Kosmo hari ini, saya terpanggil untuk mencari koleksi ini. Ianya diterbitkan di Jakarta kalau tidak salah pengkiraan saya. Jadi, pada sesiapa yang mempunyai koleksi ini, sila hubungi saya, ok?

Saya suka membaca tulisan Saudara Hafiz Hamzah mengenai rencana ini. Ada patah yang menyebut:

"Pengalaman, pandangan, tulisan, hidup dan penyakitnya... itu personal. Dengan itu, sajak-sajaknya juga sangat personal. Baca berulang-ulang dan tentunya belum dapat menangkap. Baca lagi. Hanyut lagi. Ragu lagi. Sampai faham."

Tandanya, pembacaan sesuatu karya bukan mudah untuk difahami oleh semua orang secara mata kasar. Kerana selalunya sesuatu hasil karya mempunyai maksud tersendiri yang kadang-kala tiada siapa yang bisa memahaminya dengan sekali pembacaan.

renungkan...

sila klik SINI

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm


Liku getir si penyair

Oleh HAFIZ HAMZAH

Sajak Aku yang ditulis oleh Chairil Anwar ditujukan kepada bapanya yang memujuk beliau untuk kembali ke Medan, namun ia disalahertikan sebagai sajak pembakar semangat pemberontak.


SAJAK-SAJAK yang ditulis oleh Chairil Anwar sangat peribadi.

--------------------------------------------------------------------------------

Aku Ini Binatang Jalang

Penulis: Chairil Anwar

Penerbit: PT Gramedia Pustaka Utama 2007
"BUKAN kematian benar menusuk kalbu, keridlaanmu menerima segala tiba, tak ku tahu setinggi atas debu dan duka maha tuan bertakhta."

Chairil Anwar meninggalkan sajak-sajak yang sangat dalam dan lirih. Bait itu ditulis untuk nendanya yang pergi terus-pada peringkat awal beliau menulis sajak. Ia turut menjadi pembuka di dalam judul ini.

Pada usia 20 tahun, Chairil dengan rasuk melaungkan 'aku mahu hidup seribu tahun lagi', seperti yang dikenang hari ini daripada sajaknya Aku (yang turut menjadi judul sebuah lagi sajak lain beliau).

Ketika kita ditinggalkan oleh Chairil yang pada waktu itu mati dalam kepedihan dunia - enam tahun selepas melahirkan Aku - kata-kata yang sama kembali mengingatkan manusia lain kepada sang penyair besar ini.

Salah faham

Ada perkara menarik yang selalu disalah anggap oleh ramai orang tentang sajaknya yang satu itu. Aku selalu diangkat sebagai sebuah sajak yang resistan, yang dibaca sebagai pembakar semangat memberontak. Sebenarnya ia bukanlah sebuah sajak yang lahir daripada semangat politik yang sama.

Seperti yang diingati oleh seorang teman rapatnya, Asrul Sani, Aku ialah sebuah sajak yang sentimental dan getir yang ditulis oleh Chairil kepada ayahnya yang waktu itu memujuk Chairil kembali ke Medan dan hidup bersama keluarga. Namun, Chairil menolak untuk hidup senang.

"Chairil tidak puitis," kata sesetengah orang. Perlu apa puitis sekadar untuk mengungkap rasa pedih, suka duka dan jijik yang langsung tidak mahu dipandang orang?

Apa yang menjadikannya lain adalah keterasingan. Chairil terasing daripada kebiasaan. Bergelumang dengan kemelaratan, tubuh yang dihinggap penyakit dan keghairahan seksualiti yang tidak disorok-sorok menjadikannya seorang Chairil Anwar.

Semua itu tergambar di dalam sajak-sajaknya, tercermin oleh tingkah lakunya-bohemia yang mengheretnya mati pada usia muda.

Dia ialah susuk manusia yang sangat bersifat peribadi dan tidak boleh dikongsi-kongsi. Pengalaman, pandangan, tulisan, hidup dan penyakitnya... itu personal. Dengan itu, sajak-sajaknya juga sangat personal. Baca berulang-ulang dan tentunya masih belum dapat menangkap. Baca lagi. Hanyut lagi. Ragu lagi. Sampai faham.

Sebagai mengenang dan menandakan keberadaan Chairil serta sajaknya, di sebuah kota di Belanda, Leiden, sajak Aku diperingati dengan dicatat pada dinding dengan besar untuk program Poems on the Wall. Sajak yang sama juga diserap dalam filem Ada Apa Dengan Cinta. Sekali gus menjadikan filem berkenaan bangkit dengan semangat yang menyayat.

Sengsara

Aku Ini Bintang Jalang ialah sebuah koleksi lengkap (mungkin) sajak-sajak yang pernah Chairil tulis sepanjang tempoh aktif beliau berkarya iaitu dari tahun-tahun 1942 hingga 1949.

Sepanjang tujuh tahun beliau menulis dan melalui hidup sukar, sajak-sajaknya membalas kesengsaraan itu dengan kekuatan yang akan terus mengingatkan dunia kepada sosok bernama Chairil Anwar. Ada juga di antara sajak-sajak itu datangnya daripada pelbagai versi lain.

Sewaktu menghampiri penghujung hayatnya, Chairil seperti dalam sedar mencoretkan kata-kata itu dalam salah satu sajak terakhir yang sempat ditulis, Derai-derai Cemara.

"Hidup hanya menunda kekalahan tambah terasing daripada cinta sekolah rendah dan tahu, ada yang tetap tidak diucapkan sebelum pada akhirnya kita menyerah."

Kalimat itu adalah kontradiksi kepada pengucapannya pada awal usia 20-an yang mahu hidup seribu tahun. Mungkin, pada waktu itu Chairil sudah melihat dan memahami semua yang diperlukannya dengan cukup kesedaran untuk kembali ke tempat sepatutnya.

Semua kata-kata itu akan terus melayang dan memburu. Tak hilang... kerana kuat. Chairil pergi pada usia 27 tahun.

No comments: