Sunday, July 19, 2009

Antara Hati, Jiwa & Rasa

Tajuknya agak pelik, memang pelik pada yang baru mengenali saya. Sepanjang posting saya di Eleen's Inspiration ini, jarang-jarang saya menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu yang sejak dulu lagi menjadi kebanggaan saya. Entah kenapa, kali ini saya lebih senang berbahasa begini. Tidak perlu merasa janggal kerana saya telah bermain bahasa sedari awal zaman sekolah. Saya antara jaguh penulisan tatkala di zaman persekolahan. Dewasa ini juga, saya sedang memerah otak untuk menjadikan novel saya satu realiti. Tapi kadang-kala terganggu jua dek kesibukan yang melampau.

Saya insan biasa, punya hati, punya jiwa dan juga rasa yang tersendiri. Dan adalah mustahil untuk saya memuaskan semua kehendak-kehendak tersebut (hati saya, jiwa saya dan juga rasa saya) sepenuhnya. Mengapa saya kata begitu?

Ramai yang tahu apa karier saya, tapi tak ramai yang tahu apa yang bergelodak di jiwa saya & apa perasaan saya ketika ini. Anda ingin tahu?

Secara dasarnya, saya kelihatan begitu korporat, masuk pejabat jam 9 pagi (walau kadang-kala terpaksa masuk awal) dan sampai ke rumah lewat petang. Tugasan saya seharian banyak menjerumus kepada pembentukan modal insan, dari segi sahsiah dan juga perkembangan minda akademik. Setiap hari saya merangka dasar & cara terbaik agar generasi muda kini tidak ketinggalan dari sudut pelajaran. Selain hari-hari saya penuh dengan perbincangan, mesyuarat di sana-sini, memenuhi aturcara makan tengahari, minum petang sambil berbincang dengan orang-orang yang berkepentingan.

Itu kata hati saya. Itu yang orang lihat siapa saya. Itu yang saya usahakan sepanjang 10 tahun ini, sedari awal saya menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Saya berusaha keras untuk itu seperti yang diakui oleh suami kesayangan saya. Saya memulakan langkah hanya dari jawatan Eksekutif hinggalah ke kuasa Registrar. Dari gaji permulaan saya RM 2000 sehinggalah sekarang ini, jumlah itu adalah simpanan saya setiap bulan. Hati saya puas!!! Puas dapat membangunkan anak bangsa, puas dapat berkongsi kejayaan ini bersama keluarga tercinta, puas dapat berbakti demi negara, malah, puas dapat memenuhi kehendak naluri sang perempuan yang gemar berbelanja (tapi saya tetap menyimpan).

Jiwa saya amat halus, jiwa orang seni. Saya amat sensitif, sekali orang melirik pandang, saya dapat rasakan ketidaksenangan orang terhadap saya. Jadi kerana itu saya amat berhati-hati dalam setiap langkah dan patah.

Saya sangat cintakan bait-bait indah bahasa. Tak kiralah bahasa ibunda mahupun bahasa penjajah, asalkan namanya bahasa, yang ianya dapat mengekpressikan apa yang terkumpul di jiwa. Saya mula menulis ketika umur saya baru menjejak 7 tahun. Waktu kali pertama coretan saya tersiar di majalah kesukaan mama, saya gembira yang amat sangat. Walaupun hadianya tak seberapa, tapi ia tetap membuat semangat saya untuk menulis terus melonjak. Waktu di sekolah menengah, hasil tulisan saya sering terpapar di bukan setakat di majalah tapi dipertandingkan.

Hingga kini saya masih berkarya, menulis rencana kehidupan, mensyair puisi, mencipta bait-bait lirik, segalanya tentang bahasa. Bila hati saya kusut dek kerja-kerja yang bertimbun di pejabat, saya cari pensel dan kertas. Mengapa pensel, kenapa tidak pen? Kerana pensel itu begitu unik di mata saya. Kerana pensel mampu mencorakkan gelombang perasaan saya yang kadang-kala berombak kasar, yang disaluti nada-nada lembut, bersulam rasa kecewa...

Apa yang membuat saya berasa kecewa? Akan saya ceritakan nanti...

Apa yang saya rasa kini? Apa agaknya perasaan saya kini? Saya mempunyai cita-cita... ah! ia bukan sekadar cita-cita, malah ia adalah impian yang telah lama saya idamkan. Saya mahukan sebuah keluarga yang tenang, aman dan sederhana. Walaupun kami (azimin & saya) terus-terusan mengejar cita-cita sendiri, kami berdua tetap pastikan kedua-dua cinta hati kami tidak sekali-kali terabai. kami seboleh-bolehnya akan pastikan yang kami tidak terbuai dek keghairahan mengejar cita-cita sehingga terpaksa melihat impian kami terkubur.

Kalau ditanya apakah yang bergelodak di dalam perasaan saya tika ini, saya mahukan kehidupan saya. Kehidupan saya yang telah diragut oleh sebuah HATI yang bercita-cita besar. Saya akui itu silap saya, saya begitu inginkan supaya saya dipandang tinggi oleh masyarakat. Maksud saya... saya tidak mahu dipandang rendah oleh orang sekeliling.

Ada saudara-mara yang hingga kini tidak tahu apa kerja saya. Ada yang menganggap saya hanya kerani cabuk biasa yang gajinya tak seberapa. Saya tidak pernah kisah semua itu tapi bila saban tahun sewaktu raya, insan-insan ini selalu mengulang kata dengan nada yang sama, saya harus bangun bersuara. Tapi saya tidak suka berkasar kerana mereka saudara. lalu cara yang paling mudah, saya pastikan setiap tahun sewaktu raya atau kenduri-kendara, saya akan edarkan 'business card' saya. Biar kertas itu yang berkata-kata.

Saya akui saya agak tamak dalam mencorak masa depan. Kerana saya pernah kecewa. Saya telah dikecewakan kerana saya tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang cemerlang, gemilang & terbilang. Saya dicampak bak sampah, seolah-olah saya tak mampu bangun mengubah keadaan. Saya mengambil masa yang bukan sekejap untuk meyakinkan orang sekeliling yang saya bukan seperti dahulu lagi. Saya kini telah menjadi orang, malah lebih hebat dari yang menghina dahulu.

Kini saya miliki sebuah HATI yang besar, yang mampu tersenyum bila orang bertanya siapa saya, apa kerja saya. Tapi JIWA saya tidak merasa puas. Ada sesuatu yang mahu saya ekpresikan yang tidak kesampaian. Kerana itu, saya terus menulis. Ya, menulis adalah JIWA saya, tulisan-tulisan saya adalah nyawa saya dan alunan-alunan pensel adalah hembusan nafas saya. Mengapa saya tidak terus bernafas denagn JIWA saya? peRASAan saya tetap utuh pada wajah-wajah kesayangan saya. Saya mahu mereka tahu yang saya hanya mahu berada di arena ini seadanya, tidak terlalu tinggi sehingga saya terpaksa kehilangan JIWA yang amat saya sayangi. JIWA itulah yang telah membentuk saya, menjadikan saya insan yang amat tabah mengharungi kehidupan walau saya pernah jatuh terduduk.

Saya akan teruskan apa yang tergambar dalam JIWA saya. Tulisan, bait-bait bahasa, alunan merdu irama adalah JIWA saya. Saya kunjungi sebuah kedai buku, mencari-cari wadah yang berkenan di HATI. Sedang sibuk-sibuk membelek, saya tercapai sebuah buku yang agak lama bidangnya saya tinggalkan. Saya membelek sehelai demi sehelai, dan tanpa saya sedari, air mata jatuh menitis. PeRASAan saya berdebar-debar, berkocak kuat dan air mata saya makin laju. Saya sedar suami kesayangan saya terpandangkan saya, tapi dia membiarkan saya berpeRASAan sendiri kerana setelah 9 tahun mengenali saya, dia tahu bila masanya dia patut masuk, bila waktunya dia harus tunggu di situ. Hampir settengah jam, akhirnya saya nekad. Buku itu terus saya capai dan bawanya ke kaunter pembayaran, kerana wangnya tidak cukup, terus kad kredit saya hulurkan. Harganya agak tinggi, RM 250 untuk sebuah buku tapi saya yakin, JIWA saya sudah lama mendambakan untuk diisi dengan pengisian begitu.

Pertanyaan dulu muncul sekali lagi... Apa yang membuat saya berasa kecewa?

Saya kecewa kerana waktu yg berkualiti untuk diri saya & keluarga saya sudah terasa kekurangannya. Amat sukar untuk dicari, tidak mungkin dapat diganti. Itu komen suami saya. Kerana itu dia tak sudah-sudah menyarankan saya untuk beralih arah, menurunkan sedikit pangkat yang sedia ada demi keluarga. Jangan salah faham, saya bukan kecewa dengan permintaan suami tercinta. Saya hanya kecewa dengan diri saya kerana dalam keghairahan mengejar cita-cita, dek terlalu mengikutkan kata HATI, masa saya dengan keluarga terutamanya anak-anak yang sedang membesar terlalu kurang. Syukur saya tersedar awal. Sungguh, tak dapat saya bayangkan sekiranya saya alpa dan terus-terusan mendaki cita.

Lalu dengan rasa rendah diri, saya perlahankan larian, cuba berjalan seiring dengan keadaan. Saya cuba kenangkan kembali siapa saya 5 tahun yang lepas. Saya seorang isteri & ibu yang serdahana, seadanya, tidak terlalu demanding, menyarung apa sahaja persalinan yang ada di dalam almari. Saya hanya pekerja biasa, yang tidak perlu pusing-pusing memikirkan masalah besar di pejabat. Saya tidak perlu meluangkan masa yang terlalu lama di pejabat, selepas habis waktu kerja, saya boleh pulang tanpa membawa balik masalah yang merunsingkan.

Perlahan-lahan, saya belajar mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, zaman gawat begini, tak tergamak melepaskan emas dalam genggaman. Bak kata Azimin, perlahan-lahan, jangan terlalu mendadak. Lalu saya kini merangka jalan. Doa'kan saya temui jalan yang sepatutnya, dan moga Dia permudahkan segala urusan saya.

Teman-teman, doa'kanlah kesejahteraan kami.

2 comments:

Shaeerah Alkaf said...

May you always be bless miss...dont worry everything will be fine...our path crossed just once and for a very short time but i know all of us here look up to you..so, with a strong woman like you, you dont have to worry about your children...they must be proud of you and i bet your husband too...God will always be by your side...Good people will always get God's best treatment...:)

Herleen said...

Thanks a lot for the inspiration Sheerah... May God bless you as well