Monday, March 17, 2008

PM umum senarai Kabinet hari ini

PUTRAJAYA: Barisan anggota Kabinet baru dijangka diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dan majlis mengangkat sumpah pelantikan jawatan, taat setia serta menyimpan rahsia Jemaah Menteri akan diadakan di Istana Negara, esok.

Perdana Menteri dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, pagi ini sebelum mengadakan sidang media khas di Bangunan Perdana Putra, kira-kira jam 12 tengah hari bagi mengumumkan senarai Jemaah Menteri. Sidang akhbar itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

Majlis mengangkat sumpah pelantikan jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia Jemaah Menteri pula dijadual diadakan di Istana Negara pada jam 11 pagi esok dan disusuli mesyuarat Kabinet pertama di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Istiadat mengangkat sumpah anggota Kabinet baru itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Minggu lalu, Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Sultan Mizan, dua hari selepas BN memenangi 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Kelmarin, Bernama melaporkan Abdullah dijadual mengumumkan Kabinet baru yang dijangka lebih kecil dengan dibarisi ramai muka baru yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Petunjuk awal membayangkan barisan Kabinet itu mungkin mengandungi antara 26 hingga 28 menteri berbanding 31 sebelum ini, kerana sesetengah kementerian akan digabungkan bagi mengelak pertindihan bidang kuasa.

Sejak beberapa hari lalu, Perdana Menteri mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua parti komponen BN berhubung pelantikan anggota Kabinet sebelum beliau membuat keputusan yang diyakini dapat memenuhi konsep perkongsian kuasa. Sementara itu, Berita Harian difahamkan, dalam Kabinet baru itu Perdana Menteri akan turut memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah manakala timbalannya, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Datuk Seri Syed Hamid Albar dijangka dilantik Menteri Pertahanan; Datuk Seri Rafidah Aziz ditukarkan ke Kementerian Luar; tempatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diserah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan akan digugurkan dan dilantik Setiausaha Agung Umno. Datuk Seri Jamaludin Jarjis dijangka mengetuai Kementerian Kerjaraya, Air dan Tenaga; Pertanian (Datuk Mohd Shafie Apdal); Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Zulhasnan Rafique); Kewangan (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop).

Ketua Wanita MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen (Kesihatan), Pengangkutan (Datuk Ong Ka Chuan), Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang digabungkan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein).

Pengumuman Perdana Menteri sebelum ini bahawa menteri yang tewas pada pilihan raya umum lalu tidak akan dilantik semula, memberikan gambaran mungkin tiada pelantikan sebagai senator untuk kemasukan dalam Kabinet.

Barisan baru Kabinet juga dijangka menyaksikan pelantikan beberapa muka baru di kalangan wakil rakyat wanita, termasuk Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Shadique dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad

No comments: