Ada orang pernah cakap pada aku, kenapa perlu jadi terlalu baik sampai orang-orang yang tak berapa baik dengan aku pun, bila mahukan pertolongan laju saja menghala ke arah aku.
Biarlah. Pada aku itu lumrah manusia. Biar sekeras konkrit khalayak memandang aku tapi dalam hati aku ada sekelumit rasa yang cepat tersentuh melihat kekalutan orang lain.
Jujurnya, aku sayangkan ramai orang sekeliling aku. Kawan-kawan yang aku angkat menjadi sahabat, bukan satu dua. Atas nama sahabat, biarpun dia berbuat salah, biar berkoyan dia dikata dikutuk, aku akan tetap berada di sebelah. Tidak perlu dihukum seumur hidup. Bukan sedikitpun tempias yang terhumban pada aku. Tapi, apa guna mengaku kita faham makna sahabat tapi kita tak pernah mahu cuba menyelaminya.
Kita pun namanya manusia, tidak sempurna. Dan selagi bernama manusia, kita berhak mendapat kemaafan.
Aku pernah rasa bagaimana sakitnya dicaci. Pernah rasa macammana pedihnya dihina, bila orang sekeliling melayan aku seperti orang asing yang terasing. Dikatakan bodoh. Aku pernah melalui satu zaman yang memang aku tidak mahu mengulanginya. Aku pernah merasai bagaimana kecewanya bila aku terpaksa menyendiri kerana tiada siapa mahu berpihak pada aku. Mungkin kerana itu, aku tidak mahu orang-orang yang dekat dengan aku merasainya walaupun itu adalah kenapa aku menjadi kuat sekeras batu.
Ini dunia. Bukan semua orang sanggup susah kerana kita. Bukan semua orang sanggup terluka kerana kita. Biarpun waktu dia susah kecewa, kitalah tempat dia bercerita meluah rasa. Kitalah tempat dia berkongsi meminta bantu. Tapi kerana ini dunia, kita tidak boleh mengharap orang yang kita tolong kala susahnya akan sanggup bersusah seperti yang kita lakukan untuknya.
Kerana ini dunialah, sebagai manusia aku pernah mengharap orang yang pernah menghiba diratap aku, ada rasa menghargai, ada rasa percaya. Tapi kerana dunialah, aku tahu, ini masanya untuk aku persetankan manusia berperasaan seperti kamu.