Tuesday, September 20, 2011

BETUL KE REZEKI MURAH SELEPAS KAHWIN??

Saya dapat topik ini dari satu forum, persoalan yang dibincangkan tentang BENARKAH REZEKI AKAN MURAH SELEPAS MENDIRIKAN RUMAHTANGGA?? Pelbagai pendapat diutarakan dari beberapa sudut & aspek. Ya, pada saya, yang penting diri sendiri. Rezeki tidak pernah akan datang bergolek menunggu kita depan pintu rumah. Kita sebagai manusia diberi akal, fikiran serta kudrat dari tulang empat kerat. Jadi, terpulang pada kita bagaimana mahu menggunakannya untuk memurahkan rezeki.

Saya & Azimin sendiri melaluinya. Saya bukan berkahwin dengan sang jutawan yang mampu memberikan saya barang jutaan ringgit. Waktu saya berkahwin dengan dia, dia hanya pensyarah biasa, hanya drive kereta Satria. Kami berdikit-dikit hingga ke saat ini, kerana baik saya mahupun dia percaya, rezeki kurniaan Ilahi akan diberi kiranya kita berusaha dengan cara yang betul. Yang penting, berkat.

Saya ambil contoh abang teman saya, dia tiada 'paper qualification', malah dia mengakui, dia amat malas waktu zaman sekolah. Dia hanya lulus SPM cukup makan, dan selepas itu tidak minat untuk sambung pengajian langsung. Zaman mudanya banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkaya yang bisa membuatkan orang lain memandang serong padanya. Melepak sana sini, mengganggu anak dara orang pulang kerja, berkumpul tepi tembok sambil main gitar walaupun tahu, key nya tidak pernah betul...

Namun manusia boleh berubah, itu juga yang disuratkan buat dia oleh Yang Maha Esa. Dek kerana sukakan seorang gadis yang selalu diusiknya tiap kali gadis itu balik kerja dari kilang, dia mula berubah. Dia mula memandang ke depan, mula memikirkan tentang masa depannya. Lalu dia gagahkan diri berjumpa adiknya (teman saya), meminjam duit untuk dijadikan modal.

Melihatkan perubahan abangnya, teman saya setuju memberi pinjaman, dengan syarat, setiap bulan harus dibayar secara ansuran, jangan tunggu sampai cukup baru bayar... Abangnya mulakan dengan berniaga buah-buah potong di tepi jalan. Kemudian, dia mencuba nasib menjual buah di pasar malam pula. Jadual hidupnya telah berubah, tiada lagi sessi lepak-melepak, tiada lagi masa melalak-lalak sambil memetik gitar. Setiap hari, bila waktu makan tengahhari dia berniaga buah potong, dan kemudian petangnya di serata pasar malam menjual buah.

Dia berkahwin setahun kemudian, dikurniakan keluarga yang amat memahami dan sentiasa memberi sokongan. Sang isteri tidak pernah rasa malu untuk sama-sama berjual di pasar malam.

Itu kisah LEBIH 10 tahun yang lalu. Hari ini, lelaki yang saya kenal ini (abang teman saya) sudah boleh berbangga walaupun dia belajar hanya setakat Tingkatan 5 sahaja. Dia hanya menjejakkan kaki ke universiti sewaktu menghantar adik-adiknya sahaja. Tapi kini, dialah sang abang tempat adik-adiknya menumpang senang.

Kita mungkin tidak akan sangka yang lelaki berbaju pagoda, bertopi, memandu lori yang setiap hari hidupnya dihabiskan di pasar malam itu punya rumah semi-d dua tingkat, itu yang dia duduki. Yang dia sewakan, jangan ditanya berapa banyak... Setiap hari dia memandu lori buruk yang belakangnya penuh dengan buah-buah, tapi ada ketikanya, dia gah memandu Alphard nya.

Sampai hari ini dia masih memerah keringat di pasar malam. Mungkin rezekinya di situ. Dia bukan setakat menjual, kini dia juga mempunyai ramai pekerja dan setiap hari, sekurang-kurangnya 3 pasar malam dia berjualan. Paling banyak, hujung minggu, kadang-kadang sampai 6 pasar malam. Kadang kala, dia terpaksa meminta pertolongan anak-anaknya serta adik-adik dan adik-adik iparnya...

Itu realiti.. Rezekinya memang amat murah selepas dia berkahwin, berkeluarga... tapi amat jelas yang ianya memerlukan usaha & kerja keras, dan juga kesabaran yang amat tinggi.

Antara petikan dari forum yang diutarakan oleh salah seorang forumer ialah:

1) 5 tahun pertama perkahwinan tu adalah tempoh penyesuaian, dlm tempoh 5 tahun itu kita kena banyakkan sabar, usaha & doa. Seandainya kita dapat melepasi tempoh maut tu, maka perjalanan seterusnye lebih mudah

2) Sex amat penting dalam perkahwinan, jgn sesekali abaikan. Dua2 pihak perlu bersikap terbuka dalam hal ni sbb tidak mahu pihak yang satu lg menjerut rasa

3) Sumber kewangan mesti kukuh. Tak perlu hidup mewah- tapi kalau mampu apa salahnya. Yang penting keperluan asas tu cukup & suami tahu bahawa tugas mencari nafkah itu terletak pada bahu suami bukannya isteri. Kalau isteri nak sama-sama bantu adalah lebih baik, untuk keluarga juga

4) Setia. Jangan curang.. selalunya kes2 org ketiga ini bukan merupakan alasan utama kenapa pasangan tu bercerai. Punca utama perceraian tu adalah di sebabkan 3 perkara utama di atas...

Buat panduan & renungan semua....

1 comment:

Anonymous said...

betul tu. saya setuju. 5 thaun ialah proses penyesuaian